Tuesday 10 May 2011

Qadha' puasa ramadhan dan fidyah

1. Orang yang bermusafir dan orang sakit.

Wajib ke atas golongan ini untuk mengqadha' puasa sebelum tibanya ramadhan yang akan datang. sekiranya seseorang itu tidak mengqadha'kan puasanya kerana sengaja melewat-lewatkan sehingga bertemu dengan ramadhan berikutnya, maka wajib ke atasnya qadha' puasa berserta fidyah sebanyak satu mud mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Fidyah tersebut mestilah diberikan kepada faqir miskin.
* satu mud menyamai 600 gm timbangan.

Berbeza dengan orang yang meninggalkan puasa ramadhan dan tidak mengqadha'nya sehingga bertemu dengan ramadhan berikutnya kerana sakit yang berterusan. Untuk masalah ini, ia hanya diwajibkan qadha' dan tidak wajib membayar fidyah.

Jika orang yang sakit berterusan ini meninggal dunia, masalah ini terbahagi kepada 2 jenis:
- Ia meninggal sebelum mampu mengqadhakan puasanya maka ia tidak berdosa dan tidak perlu diqadha' puasanya.
- Ia meninggal selepas berkemampuan qadha' puasanya tetapi tidak sempat, lalu ia meninggal dunia, maka walinya perlu mengqadha' puasa yang telah ditinggalkan oleh si mati.
*wali - kerabat si mati seperti anak, cucu dsb.

Dibolehkan juga jika orang lain ingin menggantikan puasa yang ditinggalkan oleh si mati dengan syarat mendapat keizinan dari wali si mati ataupun telah diwasiatkan. Sekiranya tidak mendapat keizinan dari wali ataupun tidak diwasiatkan maka qadha' puasa dari ajnabi tidak terlaksana.
*Ajnabi-seseorang yang bukan wali si mati.

Sekiranya tiada sesiapa di kalangan walinya yang sanggup menggantikan puasa yang ditinggalakan, wali haruslah membayar fidyah satu mud berdasarkan hari-hari yang ditinggalkan. Pembayaran itu mestilah diambil daripada harta peninggalan si mati sebelum dibahagikan kepada ahli waris.

2. Orang yang tersangat tua dan sakit yang tiada harapan sembuh
Orang tua yang sudah terlalu lemah dan tidak mampu untuk berpuasa, tidak diwajibkan untuk menunaikan ibadah tersebut dan tidak wajib juga ke atas wali-walinya untuk mengqadha' puasa yang ditinggalkan, bahkan wajib orang tua itu untuk bersedekah satu mud untuk setiap hari yang ditinggalkan. begitu juga hukumnya bagi orang yang sakit dan tiada harapan untuk sembuh kembali.

3. perempuan hamil dan perempuan yang sedang menyusu.
perempuan hamil yang meninggalkan puasa kerana bimbang mudharat atas dirinya diwajibkan mengqadha' puasanya sebelum menjelang ramadhan berikutnya tanpa perlu membayar fidyah.
manakala perempuan hamil yang tidak berpuasa kerana bimbang mudharat ke atas bayinya seperti keguguran disebabkan berpuasa atau pun ibu yang masih menyusu bimbang susunya akan berkurang disebabkan berpuasa yang mana keadaan ini boleh memudaratkan keadaan si anak, maka wajib ke atas si ibu untuk mengqadha' puasa yang ditinggalkan berserta bersedekah dengan satu mud mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

No comments:

Post a Comment